TUNTUTAN CHINA DALAM PETA TIDAK JEJASKAN SARAWAK - ABANG JO

Sarawak Premier, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
02/09/2023 11:29 AM

KUCHING, 1 Sept (Bernama) -- Tuntutan China di Laut China Selatan seperti digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’, tidak mempunyai kesan terhadap Sarawak.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata peta tersebut tidak mempunyai ikatan perundangan atau kuasa terhadap Malaysia, dan ia tidak selaras dengan undang-undang laut antarabangsa.

Beliau berkata pendirian Sarawak mengenai perkara itu adalah sama seperti kerajaan Persekutuan.

“Peta itu tidak jejaskan kami. Terdapat undang-undang laut antarabangsa yang anda (negara) perlu patuhi. Undang-undang ini di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan China merupakan negara anggota PBB.

“Isu utamanya di sini ialah kawasan (tuntutan) itu juga merupakan kawasan Malaysia. Peta itu tidak mengikat di peringkat antarabangsa,” katanya selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini hari ini.

Semalam, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan akan menghantar nota bantahan kepada China berhubung tuntutan China ke atas Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’, yang turut meliputi kawasan maritim Malaysia.

Pada 30 Ogos, Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam peta tersebut, dan peta itu tidak mengikat Malaysia.

Kementerian Sumber Asli China pada Isnin mengeluarkan ‘Peta Standard China Edisi 2023’ yang turut meliputi kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam, selain beberapa kawasan di India.

-- BERNAMA