SARAWAK MINAT CONTOHI AMALAN TERBAIK LOGISTIK DAN PENGEDARAN THAILAND UNTUK TINGKAT PERGERAKAN BARANGAN

01/09/2023 08:24 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 1 Sept (Bernama) -- Sarawak berminat untuk mencontohi amalan terbaik sistem logistik dan pengedaran barangan Thailand untuk melancarkan serta meningkatkan kesalinghubungan dan pergerakan barangan di negeri ini, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin.

Beliau berkata Sarawak merancang untuk membina terminal lori di empat bandar utama - Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri bagi mewujudkan sistem pengangkutan dan logistik yang efektif serta cekap.

Justeru, katanya Sarawak sedang mengkaji pelbagai model yang berjaya di rantau ini, termasuk Thailand, dengan harapan dapat mengguna pakai amalan terbaik mereka.

“Lawatan kami ke Thailand telah memberikan pemahaman yang lebih baik tentang cara terminal lori beroperasi. Pengetahuan ini akan sangat berguna untuk pelaksanaan projek rintis di Miri.

“Selepas lawatan, kami mendapat gambaran lebih jelas tentang model terminal lori itu. Kami mungkin mengubah suai atau menerima pakai sebahagian rancangan itu untuk memenuhi keperluan kami di terminal Miri,” kata Lee kepada Bernama, di sini.

Beliau mengetuai delegasi mengadakan lawatan kerja ke Thailand dari 27 hingga 31 Ogos.

Lee berkata terminal pertama lori akan dibina di Miri sebagai projek rintis memandangkan ia keperluan paling mendesak.

“Kami kini di peringkat perancangan. Terminal lori Miri dirancang secara tentatif untuk beroperasi menjelang akhir tahun depan,” katanya.

Tambahnya, pemandu lori dan trak di Sarawak sering melakukan perjalanan jauh seperti dari Kuching ke Lawas malahan sehingga ke Sabah.

“Ramai daripada mereka singgah bermalam di Miri, tetapi pada masa ini tiada terminal atau kawasan letak kenderaan yang sesuai. Akibatnya, mereka sering meletakkan kenderaan di tepi jalan yang boleh membahayakan keselamatan dan mengganggu penduduk.

“Untuk menangani isu itu, kerajaan Sarawak bercadang menubuhkan terminal yang sesuai di Miri dengan kemudahan seperti gudang, tempat khusus untuk letak kenderaan, penginapan dan kedai makan.

“Ini akan memberikan pemandu lori dan trak tempat yang selamat dan selesa untuk berhenti dan membantu meningkatkan aliran trafik di bandar itu,” katanya.

Delegasi berkenaan melawat Lapangan Terbang Thailand Perishable Premium Lane di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Terminal Lori Phutthamonthon di Nakhon Pathom, Terminal Lori Rom Klao di Bangkok.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil.

-- BERNAMA