KELINDAN MAUT DALAM KEMALANGAN BABITKAN DUA LORI

29/08/2023 12:45 PM

SIBU, 29 Ogos (Bernama) -- Seorang kelindan maut apabila lori yang dinaikinya melanggar belakang sebuah lagi lori yang membawa muatan baja di KM 30, Jalan Bukit Brayang, Bukit Sebangkoi, Sarikei, kira-kira 70 kilometer dari sini, awal pagi ini. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin berkata Muhd Ekxmal Hassim Abdul Rahman, 30, yang tersepit di tempat duduk lori itu dengan kesan kecederaan di bahagian badan dan kepala, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu lori berumur 41 yang bersamanya pula, terselamat walaupun mengalami kecederaan di kepala dan turut tersepit di tempat duduknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei menerima panggilan mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 5.49 pagi dan lapan anggota dalam satu jentera yang digerakkan ke lokasi kejadian, berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa kira-kira pukul 6.35 pagi, sebelum diserahkan kepada pihak Hospital Sarikei.

"Kejadian berlaku apabila lori yang dalam perjalanan dari arah Kuching menuju ke Sarikei berlanggar dengan bahagian belakang sebuah lori lain yang dalam arah perjalanan sama," katanya.

-- BERNAMA