AGROPELANCONGAN PRODUK PALING DIMINATI, SARAWAK BOLEH MANFAATKANNYA – ABANG JOHARI

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg (File pix)
28/08/2023 02:08 PM

KUCHING, 28 Ogos (Bernama) -- Agropelancongan bukan sahaja produk pelancongan baharu tetapi suatu pengalaman sangat dicari yang boleh menjadi kelebihan untuk mempromosikan Sarawak kepada dunia, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata dengan khazanah pertanian yang banyak, Sarawak berpotensi menawarkan pengalaman agropelancongan yang tiada tandingan kepada pelancong.

“Dengan berbuat demikian, kita boleh meningkatkan jumlah pelancong bernilai tinggi yang menghargai nilai sebenar negeri ini, masakan dan tradisi kita.

“Kita mesti menyedari bahawa ini bukan sahaja mengenai agropelancongan tetapi juga tentang melengkapkannya dengan ekopelancongan untuk memperkayakan lagi pengalaman untuk pengunjung kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa majlis perasmian Persidangan dan Ekspo Agropelancongan Sarawak, di sini hari ini.

Abang Johari berkata agropelancongan bukan sekadar laluan untuk menarik pengunjung tetapi juga bertujuan untuk memartabatkan masyarakat dan memudahkan pembangunan luar bandar.

“Pelancongan berasaskan komuniti, sebahagian daripada agropelancongan, memperkasakan penduduk tempatan kita dengan melibatkan mereka secara langsung dalam aktiviti pelancongan.

“Penglibatan ini bukan sahaja membawa faedah ekonomi tetapi juga mengukuhkan nilai memelihara persekitaran pertanian, ekologi dan budaya kita,” katanya.

Faedah agropelancongan melangkaui faedah ekonomi kerana ia merangkumi pembangunan luar bandar, penyertaan masyarakat dan penciptaan pekerjaan, tambahnya.

-- BERNAMA