SARAWAK MAHU BEKERJASAMA DENGAN CHINA DALAM PERUBATAN HERBA - ABANG JOHARI

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg (File pix)
20/08/2023 01:01 AM

KUCHING, 20 Ogos (Bernama) -- Sarawak mahu menjalin kerjasama dengan China dalam bidang perubatan herba bagi meninjau potensi serta manfaatnya bagi negeri itu, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, ini berikutan Sarawak yang kaya dengan hasil biodiversiti dan tanaman herba, juga mempunyai persekitaran yang bersesuaian bagi usaha mempromosi perubatan herba berkenaan.

“Pada masa ini, kita juga telah menubuhkan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) dan memperuntukkan sejumlah RM200 juta bagi pembinaan kemudahan ini.

“Oleh itu, mungkin (bidang perubatan herba) boleh menjadi tumpuan kerjasama itu. Saya juga maklum di China terdapat universiti-universiti yang bagus dalam perubatan herba yang boleh kita libatkan dalam meneroka peluang menjalankan penyelidikan secara bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam gala Persidangan Cina Muslim Antarabangsa 2023 di sini, pada malam Sabtu.

Persidangan selama tiga hari yang berakhir hari ini, turut menghimpunkan kalangan cendekiawan, pemimpin dan pakar Islam dari serata dunia untuk membincangkan isu-isu penting membabitkan masyarakat Cina Muslim selain meninjau pendekatan bagi mempromosi keharmonian antara agama.

Abang Johari berkata, Malaysia dan China juga mempunyai sejarah kerjasama erat serta diplomatik yang harus diteruskan, terutama dalam aspek perkongsian ilmu.

“Terdapat pepatah mengatakan seseorang itu perlu mencari ilmu walaupun perlu merantau jauh sehingga ke China. Ini disebabkan oleh tamadun mereka yang maju.

“Malah, sehingga ke hari ini misalnya, Sarawak turut bekerjasama dengan China. (Projek) Transit Aliran Autonomi (ART) kita juga adalah dari China selain sedang bekerjasama dengan Huawei bagi mewujudkan bandar pintar,” katanya.

-- BERNAMA