NEGERI TUA MENJELANG 2028: SARAWAK PERLU DATA FAHAMI KEPERLUAN WARGA EMAS

16/08/2023 06:23 PM

KUCHING, 16 Ogos (Bernama) -- Data menyeluruh diperlukan bagi memahami serta merancang keperluan warga emas di Sarawak terutamanya dalam menghadapi status negeri tua menjelang 2028.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata data daripada kajian menyeluruh boleh membantu dalam penggubalan dasar serta pembangunan program intervensi.

“Data yang baik boleh membantu keputusan dasar yang lebih baik.

“Asasnya adalah data, kita mahu tahu bagaimana keadaan keseluruhan warga emas kita di bandar juga di luar bandar, kita perlu maklumat ini,” katanya semasa berucap di majlis Wacana Bestari: Isu Penuaan di Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata satu kajian menyeluruh mengenai masalah dihadapi warga emas di Sarawak oleh tiga universiti di negeri itu juga akan bermula tahun depan.

Sementara itu, Fatimah berkata selepas pandemik COVID-19, Sarawak mencatatkan penurunan ketara dalam jumlah kelahiran apabila hanya kira-kira 20,000 bayi direkodkan pada 2021 dan 2022.

“Pada tahun-tahun sebelumnya jumlah kelahiran di Sarawak adalah kira-kira 40,000 setahun. Oleh itu, Sarawak diunjurkan akan bergelar negeri tua pada 2028 apabila 16 peratus daripada penduduknya terdiri daripada mereka berumur 60 tahun ke atas.

“Malah, kebanyakan kampung di luar bandar di Sarawak sudah pun mengalami penuaan kerana golongan belia berhijrah untuk belajar dan bekerja,” katanya.

 -- BERNAMA