BOMBA JALANKAN SIASATAN TERPERINCI INSIDEN LIMA KAPAL NELAYAN TERBAKAR DI TANJUNG MANIS

Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis fb
10/08/2023 08:47 PM

SIBU, 10 Ogos (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) sedang menjalankan siasatan terperinci daripada semua sudut termasuk masalah teknikal dan unsur khianat dalam kebakaran yang memusnahkan lima kapal pukat tunda nelayan di Tanjung Manis, kira-kira 71 kilometer dari sini, awal pagi hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 4 Sarawak Penguasa Bomba Kanan Andy Allie berkata berdasarkan maklumat awal, kebakaran dikesan bermula dari bahagian belakang sebuah daripada kapal milik Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES) itu.

“Unit Forensik Bomba sedang giat menjalankan siasatan. Siasatan dijangka siap dalam tempoh 14 hari dan laporan siasatan akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu beliau berkata sebaik sahaja menerima panggilan kejadian tersebut, sepasukan enam anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Manis digerakan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba terdapat empat kapal rosak yang dilabuhkan di tebing pantai berdekatan jeti LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) Tanjung Manis itu.

Jelasnya ketika itu keadaan air sungai mulai pasang dan ia menyukarkan pergerakan untuk naik ke atas kapal bagi operasi pemadaman.

“Satu pasukan bantuan dari BBP Tanjung Manis telah bertindak memadam kebakaran dengan menaiki bot maritim, sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya. Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal daripada merebak pada 5.40 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.40 pagi.

Beliau berkata semasa kejadian terdapat kira-kira 20 kapal ditempatkan di jeti berkenaan dan difahamkan untuk menjalani kerja-kerja baik pulih.

-- BERNAMA