SARAWAK PERLU LEBIH RAMAI PENGANALISIS DATA - ABANG JOHARI

Tan Sri Abang Johari Tun Openg
06/08/2023 07:24 PM

SIBU, 6 Ogos (Bernama) -- Sarawak memerlukan lebih ramai lagi penganalisis data mahir dalam kalangan rakyat tempatan, untuk menganalisis dan melindungi data-data strategik yang menjadi asas kepada kemajuan negeri itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata data merupakan `minyak baharu’ yang bernilai tinggi pada masa hadapan, untuk menjadi asas kepada kemajuan berterusan Sarawak.

“Kita memerlukan ramai penganalisis data yang boleh membaca dan melakukan pengekodan dan penyahkodan. Anda mempunyai data tetapi anda perlu tahu cara menterjemah data melalui proses pengekodan dan penyahkodan. Tetapi data adalah sesuatu yang berharga dan ia mesti dilindungi.

“Sepanjang perlindungan ini, kita juga memerlukan analisis keselamatan siber. Saya berharap bidang ini akan melindungi data strategik, data yang boleh menjadi asas untuk kita bergerak ke hadapan,” katanya di Majlis Konvokesyen ketujuh Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini hari ini.

Abang Johari berkata beliau berharap rakyat Sarawak, dapat memperlengkapkan diri mereka dengan sebanyak mungkin kemahiran dan pengetahuan dalam penganalisaan data semasa, yang ada pada masa hadapan.

Beliau berkata graduan UTS juga perlu menceburi bidang robotik, khususnya dalam sektor pertanian dan reka cipta cip, di mana Sarawak pada masa kini amat memerlukan kepakaran seumpama itu.

Abang Johari berkata bidang robotik dapat menggantikan kerja-kerja yang dilakukan secara manual dalam pertanian sebelum ini.

Beliau berkata apabila sudah menggunakan mesin, sudah pasti turut melibatkan keperluan penggunaan cip yang merupakan antara komponen penting.

“Apabila anda mendapat mesin, anda memerlukan cip dan saya juga ingin rakyat Sarawak mempunyai kepakaran dalam reka cipta cip,” tambahnya.

-- BERNAMA