LELAKI MATI DITEMBAK SELEPAS MAKAN DI KEBUN BERSAMA RAKAN

01/08/2023 07:32 PM

SIBU, 1 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 46 tahun maut dengan lapan kesan tembakan, selepas satu serangan di sebuah kebun di KM14.5 Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, pada kira-kira 11.30 malam, Isnin.

Serangan berlaku ketika Pang Neng Hua bersama dua rakannya, masing-masing berusia 36, dan 46, tahun hendak beredar dari kebun tersebut, setelah selesai makan bersama di situ.

“Ketika rakan si mati sedang mengunci pagar, seorang lelaki dikatakan turun menyusuri bukit lalu melepaskan beberapa das tembakan,” kata Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua rakan mangsa, lari menyelamatkan diri ke arah belukar di lereng bukit di situ dan apabila keluar selepas setengah jam kemudian, mereka mendapati Pang telah rebah di tempat kejadian, sebelum membawanya ke Hospital Sibu.

Zulkipli berkenaan pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian pada 1.23 pagi hari ini dan siasatan awal mendapati Pang yang telah disahkan identiti oleh keluarganya, mempunyai lapan kesan tembakan pada badan.

Seorang daripada rakannya mengalami kecederaan di muka ketika menyelamatkan diri, manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Semasa memeriksa tempat kejadian, pihak polis menemui kelongsong peluru yang digunakan, namun beliau enggan mendedahkan jenis senjata api yang digunakan penyerang tersebut, dan dipercayai lebih dari seorang penyerang terlibat dalam kejadian itu.

Ditanya sama ada si mati seorang ketua geng penjenayah yang dikehendaki polis, Zulkipli berkata perkara itu masih dalam siasatan dan menggesa agar orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi, serta memberi ruang kepada polis membuat siasatan.

Beliau mengesahkan si mati yang ditembak dari jarak dekat, mempunyai tiga rekod jenayah lampau yang antaranya dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sebelum kejadian, Pang dikatakan telah datang ke kebun milik keluarganya, untuk makan bersama kedua rakannya itu.

Bedah siasat ke atas si mati akan diadakan esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-- BERNAMA