URDA TAMAT KHIDMAT KONTRAKTOR GAGAL SIAP PROJEK - NANTA LINGGI

Alexander Nanta Linggi fb
24/07/2023 09:24 PM

KUCHING, 24 Julai (Bernama) -- Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) mengambil tindakan tegas dengan membatalkan kontrak kepada kontraktor yang gagal menyiapkan projek pembangunan di bawah seliaannya yang meliputi kawasan Kapit, Kanowit, Song, Belaga dan Bukit Mabong.

Pengerusi URDA, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata sikap kontraktor yang tidak dapat menyiapkan projek itu umpama menganiayai rakyat yang memerlukan pembangunan seperti jalan raya dan bekalan air.

“Itu antara perkara yang dibincangkan dan beberapa syarikat kontraktor telah ditamatkan kerana gagal melaksanakan tanggungjawab mereka. Saya difahamkan mungkin sebelum akhir tahun ini kita boleh tender semula (projek-projek infrastruktur),” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengurusan URDA, di sini, hari ini.

Nanta, yang juga Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Kapit, berkata setakat ini sebanyak 26 projek pembangunan yang telah dirancang di kawasan itu sedang dilaksanakan dan telah mencapai status lebih 60 peratus siap.

“Kita akan terus memberi tumpuan kepada projek pembangunan luar bandar dan menggabungkan lebih banyak program sosioekonomi untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan itu,” katanya.

URDA ditubuhkan pada 2017 di bawah di Lembaga Kemajuan Koridor Wilayah Sarawak (RECODA) dan diperuntukkan RM1.5 bilion oleh kerajaan Sarawak untuk melaksanakan 42 projek infrastruktur dan sosioekonomi di kawasan-kawasan terbabit yang terletak di bahagian pedalaman tengah negeri itu.

-- BERNAMA