SARAWAK ADA RANCANGAN BANGUNKAN LOT TANAH YANG DIKEMBALIKAN - ABANG JO 

19/07/2023 01:56 PM

KUCHING, 19 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sarawak mempunyai rancangan sendiri untuk membangunkan lot tanah yang dikembalikan semula kepada negeri itu oleh kerajaan Persekutuan. 

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata rancangan pembangunan itu juga akan dilaksanakan agensi negeri bertanggungjawab mengikut bahagian masing-masing.

“Setakat ini, masih ada beberapa lot tanah yang masih dalam perbincangan (untuk dipulangkan semula kepada kerajaan Sarawak),” katanya selepas menghadiri majlis perhimpunan sambutan Ma’al Hijrah peringkat negeri di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini hari ini.

Abang Johari berkata tanah-tanah itu telah diperoleh kerajaan Persekutuan untuk projek-projek pembangunan sebelum ini.

“Tetapi atas sebab-sebab tertentu, projek tersebut tidak dapat dilaksanakan, maka kita (Sarawak) berpendapat jika tidak digunakan lebih baik serah kembali kepada Sarawak,” katanya. 

Semalam, Timbalan Perdana Menteri  Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengembalikan semula 55 daripada 224 lot tanah yang telah diperoleh daripada kerajaan Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata ia melibatkan 52 lot tanah milik Sarawak dan tiga milik Sabah.

Katanya, kedua-dua kerajaan negeri berkenaan akan membayar semula kepada kerajaan Persekutuan jumlah pampasan yang telah dibayar pada harga ketika Kerajaan Persekutuan mengambil alih tanah berkenaan.

Fadillah, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, berkata setakat ini, Sarawak mengemukakan sebanyak 219 lot tanah yang harus dikembalikan semula manakala Sabah pula lima lot tanah. 

-- BERNAMA