SARAWAK, SINGAPURA JALIN KERJASAMA MULAKAN PROJEK 'MATHS PLUS' UNTUK GURU

Datuk Roland Sagah Wee Inn
17/07/2023 01:50 PM

KUCHING, 17 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF) hari ini melancarkan projek Pembelajaran, Pemahaman dan Sokongan Pedagogi Matematik (Maths PLUS).

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata inisiatif itu bertujuan untuk memperkasa pengetahuan kandungan dan kemahiran mengajar guru Malaysia di Sarawak.

“Malaysia dan Singapura berkongsi minat bersama untuk memberikan pendidikan berkualiti. Saya gembira kerana guru-guru daripada kedua-dua komuniti telah bersatu untuk meningkatkan taraf pendidikan di Sarawak.

“Komitmen dan semangat sukarelawan Singapura dan guru Sarawak dalam membangunkan Maths PLUS sememangnya patut dipuji. Saya menantikan apa yang akan dicapai melalui kerjasama rentas sempadan ini,” katanya ketika melancarkan projek itu di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi SIF Janadas Devan berkata sejak 30 tahun lepas, yayasan itu telah bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam projek pelbagai bidang seperti pendidikan, kepimpinan belia, seni dan keusahawanan sosial.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan jiran terdekat kami sekali lagi untuk meningkatkan kehidupan generasi akan datang melalui latihan mengajar. Projek ini akan memberi manfaat kepada lebih 80,000 pelajar di Sarawak pada 2027,” katanya.

Projek Maths PLUS itu adalah inisiatif pendidikan kedua SIF di Malaysia, susulan pelancaran Projek Kemahiran untuk Pendidikan Bersepadu di Sekolah (SKIES) di Johor dan Kuala Lumpur pada 2019.

Ia juga menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

Di peringkat global, projek ini menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 4 (Pendidikan Berkualiti, khususnya Matlamat 4C) dan Matlamat 17 (Kerjasama untuk Pembangunan Mampan).

-- BERNAMA