PARTI PEMBANGKANG SARAWAK, PSB UMUM SOKONGAN KEPADA KEPIMPINAN ANWAR, ABANG JOHARI

Datuk Seri Wong Soon Koh. (File pict)
13/07/2023 11:22 PM

KUCHING, 13 Julai (Bernama) – Parti Sarawak Bersatu (PSB), yang hanya memenangi tiga kerusi dalam Pilihan Raya Negeri pada 2021, hari ini mengumumkan sokongan mereka kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak  Tan Sri Abang Johari Tun Openg.  

Dalam satu kenyataan malam ini, Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh berkata pilihan mereka untuk menyokong kepimpinan semasa Kerajaan Persekutuan dan Sarawak adalah bagi memastikan kestabilan dan perpaduan negara. 

“Pada masa ini di dalam negara kita ada dua kuasa politik yang bertentangan antara satu sama lain, satu dengan kesederhanaan mencari kata sepakat dan bertolak ansur sementara satu pihak lagi menggunakan perkauman, ekstremisme dalam agama, selain pecah dan perintah. Untuk kestabilan dan perpaduan negara, pilihan buat kami adalah jelas. 

Beliau berkata Anwar harus diberikan sokongan sepenuhnya bagi membolehkan pentadbiran baharunya melaksanakan matlamat Malaysia MADANI untuk membasmi rasuah dan ketidakcekapan serta memperbetulkan apa yang salah di masa lampau dan menyingkirkan faktor perpecahan dalam kalangan rakyat. 

“Kami tahu Kerajaan GPS (Gabungan parti Sarawak) telah memberikan sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan Perpaduan. Maka kami PSB di peringkat negeri berikrar memberikan sokongan sepenuhnya kepada Premier kami (Abang Johari) dalam semangat perpaduan bagi membolehkan beliau meneruskan inisiatif  Sarawak diutamakan,” katanya.

Kenyataan Wong dikeluarkan berikutan keputusan PSB untuk menandatangani satu memorandum persefahaman dengan Parti Demokratik Progresif (PDP), sebuah parti komponen GPS yang beliau tandatangani bersama Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing, di Kuala Lumpur, hari ini.  

Pada majlis itu Tiong berkata kedua-dua parti telah mencapai kata sepakat untuk menyokong satu sama lain dan kedua-duanya berusaha untuk melihat kemakmuran dan kestabilan politik di dalam negara. 

Susulan keputusan yang dibuat PSB, kini tinggal hanya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) dan Violet Yong (DAP-Pending) daripada keseluruhan 82 ADUN. 

DAP kekal sebagai pembangkang dalam DUN Sarawak tetapi merupakan sebahagian daripada komponen parti dalam Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan yang membentuk Kerajaan Perpaduan bersama GPS selepas Pilihan Raya Umum Ke-15. 

-- BERNAMA