KENDERAAN PROTOTAIP ART TIBA DI KUCHING BULAN DEPAN - LEE

Photo kredit : Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)
12/07/2023 02:31 PM

KUCHING, 12 Julai (Bernama) -- Kenderaan Autonomous Rapid Transit (ART) untuk projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dijangka tiba di sini bulan depan, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin.

Beliau berkata kenderaan itu yang dibawa dari China, akan menjalani latihan kejuruteraan selama dua bulan di Kuching Isthmus pada September dan Oktober sebagai persediaan untuk latihan pengesahan konsep (POC) tahap dua dijadualkan pada November ini.

Menurut beliau, sebahagian daripada pembinaan projek KUTS yang dilaksanakan oleh Sarawak Metro Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), akan dipercepat bagi membolehkan latihan itu dijalankan.

“Latihan POC tahap satu dilaksanakan di China pada Februari tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata beliau membuat pemeriksaan tapak semalam dan yakin dengan komitmen Sarawak Metro untuk menyiapkan Fasa Satu Projek KUTS, berdasarkan kerjasama antara syarikat itu dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak serta agensi kerajaan yang lain.

“Sinergi ini memastikan kelancaran pelaksanaan kedua-dua projek dan bertujuan mengurangkan potensi kesulitan bagi pengguna jalan raya di Lebuhraya Kuching-Samarahan,” katanya.

Fasa Satu Projek KUTS melibatkan pembinaan Laluan Biru sejauh 27.6 kilometer (km) menghubungkan Rembus di Kota Samarahan ke Hikmah Exchange di pusat bandar Kuching, Laluan Merah meliputi jarak 12.3 km dari Kuching Sentral ke Pending dan Laluan Hijau sejauh 30 km dari Pending ke Damai Central.

 Lee berkata matlamat utama projek KUTS yang bernilai kira-kira RM6 bilion, adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Greater Kuching dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang boleh dipercayai, cekap dan moden untuk rakyat.

Fasa pertama operasi ART dijadualkan bermula secara berperingkat dari suku keempat 2025 hingga suku keempat 2027.

“Pusat projek ini ialah pelaksanaan sistem pengangkutan awam sifar pelepasan, dengan kenderaan ART dikuasakan oleh hidrogen hijau. Melengkapi perkhidmatan ART ialah rangkaian bas henti-henti yang dikuasakan oleh gas hidrogen, bagi memastikan ‘first- and last-mile connectivity’ yang mudah kepada penumpang,” katanya.

-- BERNAMA