195 RESTORAN DI SARAWAK TAWAR MENU RAHMAH 

06/07/2023 04:56 PM

KUCHING, 6 Julai (Bernama) -- Sebanyak 195 restoran atau premis makanan di Sarawak telah menawarkan Menu Rahmah setakat ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak Matthew Dominic Barin berkata perkara itu merupakan satu perkembangan yang baik sejak inisiatif berkenaan dilancarkan di Sarawak pada Februari lepas.

“Kita lihat kualiti makanan Menu Rahmah yang ditawarkan di Sarawak juga adalah baik seperti ikan yang mengandungi protein tinggi dan sayur-sayuran yang mempunyai karbohidrat.

“KPDN juga ingin menggalakkan lagi mana-mana pengusaha restoran di negeri ini agar turut serta dalam menyediakan Menu Rahmah,” katanya kepada pemberita selepas acara Jelajah Menu Rahmah bersama Restoran SugarBun di sini, hari ini.

Menu Rahmah adalah inisiatif kerajaan dalam membantu dan mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama golongan memerlukan untuk mendapatkan makanan bermasak yang seimbang pada harga RM5 dan ke bawah.

Ia juga suatu inisiatif yang dipelopori oleh pengusaha makanan atau syarikat swasta secara sukarela.

-- BERNAMA