MPS BAKAL GUNA SISTEM PINTAR BAYARAN PARKIR

27/06/2023 09:04 PM

SIBU, 27 Jun (Bernama) -- Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan memperkenalkan sistem pintar bayaran parkir kenderaan sekali gus menggantikan sistem kupon.

Pengerusi MPS Clarence Ting berkata setakat ini, pihaknya masih menunggu kelulusan daripada kerajaan negeri untuk menggunakan sistem tersebut di bandar ini yang sama seperti digunakan oleh PBT di Pulau Pinang.

“MPS kini berada pada kedudukan selesa untuk menggunakan sistem ini. Kami teruja untuk melaksanakan sistem ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya melalui sistem itu, pemandu hanya perlu memuat turun aplikasi di telefon bimbit mereka untuk membuat pembayaran parkir.

Beliau berkata baru-baru ini, rombongan dari MPS telah mengadakan lawatan ke Pulau Pinang untuk mempelajari cara pengendalian sistem parkir pintar tersebut.

-- BERNAMA