UGGAH MAHU PEMBINAAN JAMBATAN BATANG IGAN DISEGERAKAN

20/06/2023 08:47 PM

MUKAH, 20 Jun (Bernama) -- Pembinaan jambatan Batang Igan dengan kos RM285.540 juta di Igan dekat sini berjalan lancar.

Bagaimanapun, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah hari ini mahu kontraktor yang bertanggungjawab memanfaatkan sepenuhnya cuaca baik ketika ini dan mempercepatkan kerja pembinaan.

Ini untuk memastikan ramalan musim monsun pada hujung tahun ini tidak akan menjejaskan kemajuan kerja.

“Saya sangat berpuas hati dengan kemajuan projek. Kami menjangkakan ia akan siap menjelang suku pertama 2025,” kata Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak kepada pemberita selepas melawat tapak projek itu hari ini. 

Terdahulu beliau diberi taklimat mengenai kemajuan kerja oleh pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil kontraktor.

Jambatan sepanjang 1.439 kilometer (km) itu kini 47.28 peratus siap walaupun masih di belakang kemajuan 51.18 peratus berikutan masalah kekurangan pekerja mahir tertentu dan kren berkapasiti tinggi.

Pada sesi taklimat itu, wakil kontraktor memberi jaminan mereka akan mencari penyelesaian tidak lama lagi.

“Saya gembira mereka ada (penyelesaian) dan akan merekrut lebih ramai pekerja tempatan… Ini akan membantu meningkatkan ekonomi tempatan. Pada masa sama, kontraktor terlepas daripada masalah mencari kemudahan penginapan,” katanya dan menambah ini adalah contoh yang baik bagaimana projek kerajaan boleh menjana peluang ekonomi bagi penduduk setempat.

Uggah juga menyifatkan jambatan Batang Igan sebagai pencetus perubahan bagi kawasan Igan dan Matu kerana ia akan meningkatkan akses dan aktiviti ekonomi di kawasan tersebut.

Sementara itu beliau berkata JKR akan terus memantau keselamatan pengguna feri di negeri itu untuk memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keselamatan pengguna diamalkan.

“Jadi kami mahu jabatan itu memantau operasi feri dan memberi maklum balas kepada kami mengenai pematuhan SOP oleh pengusaha feri. Jangan tunggu sehingga berlaku lagi insiden yang tidak diingini, baru kita meningkatkan penguatkuasaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


FJM HI KLS