SFC AKAN BUAT KAJIAN KESAN PERUBAHAN IKLIM KE ATAS AMFIBIA BERSAMA UNIMAS

Sarawak Forestry Corporation (SFC) Controller of Wildlife, Zolkipli Mohamad Aton
17/06/2023 08:26 PM

KUCHING, 17 Jun (Bernama) -- Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) akan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) untuk melakukan penyelidikan mengenai kesan perubahan iklim terhadap amfibia.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton berkata kerjasama ini akan menumpukan kepada penilaian tentang hubung kait alam sekitar kepada kepelbagaian corak amfibia di kawasan yang dilindungi sepenuhnya di Sarawak.

“Projek ini yang dibiayai Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional menyasarkan untuk mengenal pasti faktor persekitaran yang memberi kesan kepada amfibia dan memahami bagaimana variasi jangka pendek dan jangka panjang, termasuk perubahan iklim, kesan kepada spesies, populasi,” katanya pada majlis pelancaran Lumba Katak Borneo Unimas Ke-10 di Sama Jaya Nature Reserve di sini hari ini.

Zolkipli berkata mereka berharap untuk mendapat panduan yang bernilai mengenai hubungan yang kompleks antara alam sekitar dan spesies amfibia di kawasan yang dilindungi di Sarawak menerusi penyelidikan bersama.

Beliau berkata Lumba Katak Borneo Ke-10 yang menarik penyertaan kira-kira 90 peserta juga akan mengetengahkan peranan penting katak dalam ekosistem.

“Katak adalah petunjuk penting untuk kesihatan alam sekitar dan mereka memberikan perkhidmatan ekologi seperti kawalan makhluk perosak, pendebungaan tanaman dan sumbangan kepada rantaian makanan,” katanya. . 

Bagaimnapun, Zolkipli berkata kebanyakan spesies katak diancam kehilangan habitat, pencemaran, perubahan iklim dan lain-lain faktor.

“Dengan mengkaji dan melindungi katak, kita boleh mendapatkan panduan berharga mengenai kesihatan ekosistem kita dan kesannya kepada aktiviti manusia,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas  Tan Sri Sulong Matjeraie dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Wan Hashim Wan Ibrahim.

-- BERNAMA