‘NITI DAUN’ TARIK 3,000 PESERTA, CERMINKAN KONSEP ‘SEGULAI SEJALAI’ SARAWAK

17/06/2023 08:03 PM

KUCHING, 17 Jun (Bernama) -- Perarakan sempena Gawai Dayak atau ‘Niti Daun’ menjadi pentas bagi mengetengahkan konsep keharmonion ‘Segulai Sejalai’ dalam kalangan rakyat Sarawak yang berbilang etnik dan budaya.

Menggayakan kostum seakan-akan pahlawan Iban, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai perbarisan yang melibatkan 91 kontinjen terdiri daripada 3,000 peserta dengan masing-masing menggayakan busana tradisional kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Beliau diiringi Timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Penasihat Jawatankuasa Kerja Sambutan Gawai Dayak 2023 Sarawak bagi perarakan sejauh 1.2 kilometer itu, bermula dari pekarangan Bangunan Tun Jugah hingga Jambatan Darul Hana, Tebingan Kuching. 

Pelancong yang hadir berpeluang merakam detik indah dan menyaksikan secara langsung persembahan kebudayaan, warna-warni pakaian tradisional serta kemeriahan perayaan Gawai yang sinonim di Bumi Kenyalang. 

Berasal dari Melaka, pesara jururawat, Zaharah Mohamad Hassan, 63, berkata beliau tidak menyangka dapat menyaksikan acara berkenaan buat julung kali memandangkan niat asalnya ke sini untuk menghadiri majlis perjumpaan bersama bekas rakan sekerja. 

“Saya tidak tahu hari ini berlangsungnya perarakan, jadi ini rezeki saya dapat menyaksikan dan merakam momen indah yang hanya ada di Sarawak. Saya kagum dengan semangat perpaduan di negeri ini,” katanya yang datang bersama suami. 

Niti Daun tahun ini turut diadakan sempena sambutan 60 tahun kemerdekaan Sarawak dan ia merupakan penganjuran kali ketiga selepas 1993 dan 2018. 

Pelancong dari Perancis, Pierre Cornet, 48, pula berkata beliau berkesempatan mengenali budaya dan muzik Borneo menerusi ‘Niti Daun’, selain berhasrat untuk berkunjung ke Sarawak lagi bagi acara itu pada tahun depan. 

“Ini kali kedua saya berada di Kuching tetapi tidak pernah berpeluang menyaksikan perarakan ini. Jadi, hari ini saya bernasib baik kerana baru sahaja tiba di sini beberapa jam lepas dan saya pula gemar mengambil gambar, sudah tentu ini peluang terbaik untuk saya,” katanya yang melancong bersama isteri dan rakan-rakannya. 

Sementara itu, Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang berkata perarakan yang mempamerkan kepelbagaian kostum dan pakaian tradisonal masyarakat Bumi Kenyalang itu, wajar dianjurkan setiap tahun sempena perayaan Gawai. 

“Niti Daun adalah hasil kejayaan sebuah perpaduan dan platfom yang baik buat Sarawak. Kita tidak dapat menganjurkan acara sebegini sekiranya kita tidak boleh bergaul dengan kaum lain,” katanya ketika ditemui pemberita pada perarakan berkenaan di Tebingan Kuching hari ini. 

-- BERNAMA