PENSTRUKTURAN SEMULA TANGGA GAJI GURU KEMAS MASIH DALAM PERBINCANGAN - RUBIAH WANG

Datuk Rubiah Wang
11/06/2023 04:30 PM

KOTA SAMARAHAN, 11 Jun (Bernama) --  Penstrukturan semula skim tangga gaji tenaga pengajar di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) masih dalam proses perbincangan di peringkat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata tahun ini KKDW hanya mengumumkan peningkatan elaun bulanan untuk sukarelawan KEMAS dari RM500 kepada RM800.

"Setakat ini (penstrukturan semula skim tangga gaji itu) masih dalam perbincangan lagi," katanya selepas merasmikan program Wanita Inspirasiku (WINS) Peringkat KEMAS Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan kementerian itu sebelum ini untuk menstruktur semula skim gaji 10,174 tenaga pengajar Tabika KEMAS supaya selaras dengan kelulusan dan pengalaman mereka.

Menurutnya dari sudut pengambilan pendidik baharu di KEMAS pula, pihaknya masih menjalankan pengambilan berdasarkan kepada keperluan dan kelayakan.

"Kita sejak 2016 sehingga sekarang membuat pengambilan berdasarkan kelayakan sekurang-kurangnya (berkelulusan) Diploma," tambahnya.

-- BERNAMA