KEMUDAHAN MESRA OKU DI MALAYSIA MASIH RENDAH - NANCY

10/06/2023 07:34 PM

LUNDU, 10 Jun (Bernama) -- Kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) melibatkan bangunan di Malaysia masih berada pada tahap rendah, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata perbincangan bersama kementerian lain dan penelitian dasar OKU di luar negara akan dilakukan bagi memastikan peningkatan kemudahan mesra OKU di negara ini.  

“Selain itu, saya akan mewakili Malaysia bagi Konvensyen Mengenai Hak OKU anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat dan dari situ, kita dapat melihat bagaimana keberkesanan dasar OKU oleh negara luar,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Gawai Dayak daerah Lundu di Dewan Masyarakat Lundu, hari ini.

Menurutnya, persidangan yang berlangsung dari 13 hingga 15 Jun itu memberi peluang kepada Malaysia dan negara lain untuk bertukar pandangan mengenai dasar yang boleh dikuatkuasakan, mengikut kesesuaian situasi kelompok OKU di negara masing-masing.

Nancy berkata isu bangunan mesra OKU khususnya di Kuala Lumpur turut disentuh dalam perjumpaannya bersama Ahli Dewan Negara Senator Isaiah Jacob semalam. 

Menerusi pertemuan itu, Isaiah yang mewakili golongan OKU memaklumkan pihaknya menubuhkan satu jawatankuasa bagi memeriksa bangunan-bangunan di sekitar ibu negara dalam memastikan ia mesra OKU. 

“Saya menyarankan agar golongan OKU menyuarakan pendapat secara berkumpulan supaya kita boleh bawa suara itu dengan rasmi di peringkat seterusnya,” kata Nancy. 

Terdahulu, menteri itu merasmikan Hari Gawai Dayak daerah Lundu yang dihadiri kira-kira 1,000 pengunjung, dengan pelbagai makanan tempatan ditonjolkan daripada etnik Bidayuh Jagoi, Iban, Salako dan Rara.

-- BERNAMA