SARAWAK REKOD PELABURAN RM32 BILION TAHUN LEPAS - AWANG TENGAH

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
24/05/2023 02:46 PM

KUCHING, 24 Mei (Bernama) -- Sarawak merekodkan pelaburan bernilai RM32 bilion tahun lepas sekali gus mewujudkan lebih 5,000 pekerjaan baharu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Awang Tengah, yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata sektor utama menyumbang pelaburan bernilai RM22.3 bilion diikuti sektor pembuatan dengan RM5.2 bilion dan sektor perkhidmatan pada RM4.5 bilion.

“Bagi pelaburan berkaitan pembuatan dari 2022 hingga suku pertama 2023, Sarawak meluluskan RM9.6 bilion bagi 87 projek,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, pada Rabu.

Beliau berkata antara projek pembuatan utama yang diluluskan dalam tempoh itu ialah pelaburan produk elektrik dan elektronik bernilai RM6.29 bilion, produk logam asas (RM2.58 bilion), produk plastik (RM167 juta), perkhidmatan (RM110.4 juta) serta kimia dan produk kimia (RM106 juta).

“Sektor ini (pembuatan) menyumbang RM37.2 bilion atau 28.4 peratus kepada ekonomi Sarawak dan menggaji lebih 167,000 pekerja pada 2021,” katanya.

Awang Tengah berkata jumlah perdagangan Sarawak tahun lepas meningkat 43.9 peratus kepada RM217.2 bilion daripada RM150.9 bilion pada 2021, yang turut menghasilkan peningkatan lebihan dagangan sebanyak 67.3 peratus kepada RM88.2 bilion, daripada RM52.7 bilion pada 2021.

“Jumlah eksport meningkat 50 peratus kepada RM152.7 bilion pada 2022 daripada RM101.8 bilion pada 2021 untuk barangan seperti LNG (gas asli cecair), minyak sawit, minyak mentah dan aluminium,” katanya.

Beliau berkata jumlah import meningkat 31.4 peratus kepada RM64.5 bilion daripada RM49.1 bilion pada 2021 untuk produk import utama seperti produk kimia, produk petroleum ditapis, bijih aluminium, motokar dan baja.

“Rakan dagang utama bagi Sarawak pada 2022 ialah Jepun, China, Semenanjung Malaysia, Korea Selatan, India, Australia dan Singapura,” katanya.

-- BERNAMA