CADANGAN LANDASAN KERETA API S'WAK-KALIMANTAN PERLU DIBINCANG PERINGKAT PERSEKUTUAN

22/05/2023 08:25 PM

KUCHING, 22 Mei (Bernama) -- Cadangan membina landasan kereta api menghubungkan Sarawak dan Kalimantan memerlukan perbincangan di peringkat tertinggi kerajaan Malaysia-Indonesia, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin.

Beliau berkata kementeriannya mengambil maklum cadangan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim pada persidangan Dewan Undang Negeri (DUN) namun ia hanya boleh diputuskan oleh kerajaan Persekutuan.

“Itu hanya cadangan dari YB (Yang Berhormat) Stakan. Ini melibatkan (perbincangan) dua buah negara (dan) kita akan serahkan kepada Kementerian Pengangkutan (persekutuan),” katanya pada sidang media selepas sesi penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Hamzah ketika perbahasan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Khamis lepas mencadangkan penubuhan jaringan laluan kereta api untuk merancakkan lagi aktiviti perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu mempertimbangkan untuk merangka perancangan awal berhubung perkara berkenaan kerana ia boleh memudahkan proses pengeksportan barangan dari Kalimantan.

Terdahulu ketika sesi penggulungan bagi kementeriannya, Lee berkata Sarawak mesti menyusun strategi dan meletakkan diri untuk memperoleh faedah sosioekonomi dan melengkapkan pembangunan Nusantara, yang telah dirancang untuk menjadi ibu negara baharu Indonesia pada 2024.

“Satu daripada aspek asas yang perlu kita fokuskan ialah untuk mempertingkatkan hubungan kita dengan Kalimantan, terutamanya melalui pengangkutan darat dan jaringan udara,” katanya.

Menurut beliau, kementeriannya bekerjasama rapat dengan pejabat Konsulat Jeneral Indonesia di sini untuk mewujudkan laluan bas rentas sempadan baharu antara Kuching dan Singkawang di Kalimantan melalui sempadan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak-Aruk, kira-kira 105 kilometer dari sini.

“Pada masa ini, keputusan itu masih menunggu penglibatan lanjut Kementerian Pengangkutan Malaysia dengan Kementerian Pengangkutan Indonesia. Pada masa sama, kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menaik taraf dan menambah baik kemudahan di ICQS Biawak untuk tujuan ini,” katanya.

-- BERNAMA