SARAWAK PERLU 6,000 TEKNOLOGIS BERTAULIAH MENJELANG 2025 - ABANG JOHARI

11/05/2023 03:41 PM

KUCHING, 11 Mei (Bernama) -- Sarawak memerlukan kira-kira 6,000 teknologis bertauliah bagi merealisasikan visi sebagai peneraju Revolusi Industri 5.0 (IR5.0), kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

 Bercakap pada Simposium Borneo Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) 2023 di sini hari ini, beliau berkata Sarawak menyasarkan untuk mempunyai 10,000 teknologis menjelang 2025 namun pada masa ini, negeri itu hanya dapat menghasilkan kira-kira 30 peratus daripada yang disasarkan.

“Ketika ini kita (Sarawak) memiliki seramai 3,291 teknologis bertauliah yang terdiri daripada 1,961 graduan teknologi, juruteknik bertauliah (461), teknologis profesional (722) dan juruteknik bertauliah (147).

“Mudah-mudahan kita mampu mencapai angka berkenaan pada 2025, yang sukar… namun sekurang-kurangnya kita mesti mempunyai teknologis yang mencukupi menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata simposium seumpama itu mampu meningkatkan kapasiti teknologis dan juruteknik di Sarawak dengan mempromosi dan membangunkan bakat teknologis.

Abang Johari berkata sasaran Sarawak itu mampu dicapai melalui kerjasama negeri dengan pelbagai institusi dan syarikat seperti Persatuan Juruteknik dan Juruteknologi Profesional (APTT), MBOT serta Universiti Malaysia Sarawak. 

Sementara itu, Presiden MBOT Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir dalam ucapannya berkata setakat ini lembaga itu telah mengakreditasi sebanyak 52 dan 46 program di institusi pengajian tinggi di Sarawak serta Sabah.

“Sejak ditubuhkan pada 2016, MBOT telah mendaftarkan seramai lebih 70,000 teknologis dan juruteknik termasuk 18,765 teknologis profesional dan 2,260 juruteknik bertauliah dengan lebih 5,000 daripada golongan profesional ini berasal dari Sarawak serta Sabah, iaitu kira-kira 7.5 peratus daripada jumlah ahli kami,” katanya.

Menurut Siti Hamisah, simposium berkenaan adalah satu daripada inisiatif untuk mengembangkan bakat industri berkemahiran tinggi, boleh menyesuaikan diri serta profesional sebagai tindak balas terhadap pembangunan pesat di Sarawak serta Sabah.

Bertemakan "Preparing A Sustainable Workforce", simposium sehari itu bermatlamat mempromosi dan mengiktiraf sumbangan teknologis serta juruteknik, khususnya di Sarawak dan Sabah.

-- BERNAMA