SARAWAK LANCAR KILANG PENGELUARAN MIKROALGA PERINDUSTRIAN PERTAMA

10/05/2023 05:44 PM

KUCHING, 10 Mei (Bernama) -- Sarawak melancarkan kilang pengeluaran mikroalga perindustrian pertamanya, CHITOSE Carbon Capture Central Sarawak (C4 Sarawak) di Sejingkat, di sini, hari ini.

Kilang seluas lima hektar itu yang dibuka secara rasmi oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggunakan sisa gas serombong yang mengandungi karbon dioksida (CO2) untuk meningkatkan pengeluaran alga pada skala industri. 

Abang Johari dalam ucapannya berkata biojisim alga yang dijana oleh kemudahan itu boleh digunakan dalam produk berkualiti tinggi seperti makanan dan makanan haiwan, cat, kosmetik, bahan farmaseutikal dan yang paling penting, Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF). 

“Berdasarkan anggaran awal kami, kilang komersial seluas 2,000 hektar boleh menghasilkan sehingga 140,000 tan biojisim alga setahun,” katanya.

Menurutnya, bergantung kepada teknologi yang digunakan, penyelidikan menunjukkan bahawa tapak seluas lima hektar boleh menjana 350 tan biojisim alga setahun, yang boleh diproses menjadi 87 tan lipid yang mampu menghasilkan kira-kira 45 tan SAF.

Selain itu, Abang Johari berkata beberapa mikroalga juga dilaporkan mempunyai ciri anti-kanser yang boleh digunakan dalam rawatan kanser.

“Sebagai permulaan, C4 Sarawak seluas lima hektar itu akan menjadi contoh yang baik bagi mengurus karbon dalam ekonomi sirkular, manakala kami mengumpul data untuk mengukuhkan teknologi dan meningkatkannya sehingga 100 hektar dan seterusnya mengembangkannya kepada 2,000 hektar pada masa depan jika ia berdaya maju secara komersial,” katanya.

Menurutnya, kilang seluas 2,000 hektar boleh mewujudkan sehingga 5,000 peluang pekerjaan baharu dan menyahkarbonkan kira-kira 200,000 tan karbon setiap tahun.

Projek mikroalga itu, yang bermula pada 2020, diterajui oleh CHITOSE Group (kontraktor utama untuk projek penyelidikan mikroalga) dari Jepun, Sarawak Energy dan Majlis Biodiversiti Sarawak.

Projek itu dibiayai sepenuhnya oleh Pertubuhan Pembangunan Teknologi dan Tenaga Baharu dan diuruskan oleh Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun.

-- BERNAMA