20,000 JAM KERJA DILUANGKAN UNTUK KUMPUL INPUT PCDS 2030 - ABANG JOHARI

Sarawak Premier, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
08/05/2023 05:53 PM

KUCHING, 8 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sarawak meluangkan lebih 20,000 jam kerja untuk melibatkan lebih 1,000 pihak berkepentingan daripada sektor awam dan swasta bagi mempersiapkan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) di negeri ini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata PCDS 2030 merupakan strategi utama kerajaan Sarawak untuk mencapai kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar menjelang 2030.

"Pelan (PCDS 2030) ini merangkumi 13 sektor dan membentangkan strategi padu dan mantap yang dianggap perlu untuk menangani gangguan ekonomi di seluruh dunia akibat pandemik COVID-19," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan Persatuan Penilaian Impak Antarabangsa (IAIA) ke-42 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada perasmian pleno itu.

Abang Johari berkata pelan itu juga bertujuan memastikan Sarawak dapat memulakan transformasi sepenuhnya dengan memanfaatkan aliran mega di seluruh dunia dan beralih kepada ekonomi rendah karbon.

Abang Johari berkata pandemik COVID-19 telah menyebabkan tahun 2020 menjadi tahun yang penuh dengan cabaran kerana ia membawa krisis kesihatan dan ekonomi yang merencat perniagaan dan mata pencarian dunia.

Beliau berkata pandemik telah melemahkan prospek pertumbuhan global dan Sarawak tidak terlepas daripada kemerosotan ketara dan kejatuhan menyeluruh dalam aktiviti ekonominya.

Dalam usaha untuk keluar daripada kekecewaan akibat pandemik serta mengubah landskap ekonomi Sarawak, beliau berkata negeri itu perlu memanfaatkan sumber aslinya di samping memastikan kelestarian alam sekitar menjadi penting dalam inisiatif pembangunannya.

Abang Johari gembira kerana persidangan itu telah memasukkan forum tema dan sesi untuk membincangkan kelestarian alam sekitar dan sosial yang beliau percaya akan memberikan banyak pandangan baharu mengenai rancangan pembangunan Sarawak.

"Persidangan IAIA 2023 akan memberi pandangan baharu tentang bagaimana penilaian impak dan kepimpinan boleh mempercepatkan transformasi dan daya tahan mampan dalam dunia yang terjejas oleh kesukaran yang memerlukan penyelesaian segera dan berimpak," katanya.

Lebih 600 peserta dari 79 negara mengambil bahagian dalam persidangan empat hari itu yang bertemakan "Ketahanan melalui Penilaian Impak dan Kepimpinan".

-- BERNAMA