OP BERSEPADU: JPJ SARAWAK KENAL PASTI 52 LOKASI KERAP KEMALANGAN

19/04/2023 07:24 PM

KUCHING, 19 April (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak akan mempertingkatkan pemantauan di 52 lokasi jalan raya di seluruh negeri ini yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan menjelang musim perayaan Aidilfitri. 

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata rondaan menerusi Op Bersepadu JPJ itu meningkatkan pematuhan tingkah laku pemanduan yang selamat dalam kalangan pemandu. 

“Ini bertujuan bagi meningkatkan kadar POBC atau Perception of Being Caught iaitu kebolehlihatan penguatkuasaan bagi meningkatkan pematuhan tingkah laku pemanduan selamat melalui pengurangan melakukan kesalahan trafik berulang di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Hari Raya Aidilfiti 2023 di sini, hari ini. 

Menurutnya titik penguatkuasaan jalan raya tambahan akan dilakukan terutamanya di kawasan Kota Samarahan sepanjang musim perayaan. 

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata JPJ mengadakan Op Bersepadu sempena perayaan Aidilfitri bermula semalam hingga 27 April ini. 

Beliau berkata sebanyak 231 lokasi di seluruh negara dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan dengan pemantauan akan ditingkatkan di kawasan terlibat.

-- BERNAMA