POLIS SARAWAK KESAN PEMILIK PREMIS JALANKAN PERNIAGAAN JUDI

Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri
18/04/2023 02:24 PM

KUCHING, 18 April (Bernama) -- Polis Sarawak sedang mengesan pemilik sebenar sebuah premis di kawasan Kuching City Mall yang menjalankan aktiviti perjudian dalam talian berikutan penahanan lima warga asing di premis berkenaan menerusi Op Dadu Khas, semalam. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dalam kenyataan hari ini berkata kesemua suspek berusia lingkungan 19 hingga 26 tahun itu bekerja sebagai operator pengendalian perjudian dalam talian dengan bayaran gaji RM1,500. 

“Siasatan awal mendapati pusat perjudian tersebut telah beroperasi mengikut syif dalam tempoh 24 jam sejak dua bulan lepas. Berdasarkan rekod dan transaksi telah berjaya disemak, dipercayai jumlah keuntungan kasar bagi sindiket tersebut mencecah RM30,000 sebulan,” katanya kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. 

Menurutnya kelima-lima suspek yang ditahan akan membuat iklan perjudian melalui panggilan telefon dan aplikasi laman sosial seperti Whatsapp, Telegram, WeChat dan Facebook. 

Beliau berkata sejak Op Dadu Khas dilancarkan pada 2 April lepas, Polis Sarawak menjalankan 100 serbuan dengan 100 orang berjaya ditangkap melibatkan rampasan wang tunai bernilai RM17,621. 

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian boleh menyalurkan maklumat tersebut melalui hotline Whatsapp Op Dadu di talian 013-5253052,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerugian jenayah komersial di Sarawak bagi Januari hingga 16 April telah meningkat 65.46 peratus kepada RM34.3 juta, berbanding RM20.7 juta pada tempoh yang sama tahun lepas. 

Katanya, jumlah kes di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak turut mengalami peningkatan 19.69 peratus kepada 885 kes berbanding 752 kes pada tahun lepas. 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Mohd Azman memaklumkan Polis Sarawak merampas 8,739 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis dalam dua serbuan di premis di Satok dan Jalan Rubber, di sini semalam. 

Katanya, dua lelaki dan seorang wanita dalam lingkungan usia 37 hingga 61 tahun ditahan di Ibu Pejabat Daerah Kuching berikutan tidak memiliki lesen atau permit untuk menyimpan dan menjual mercun serta bunga api yang sah. 

Selain itu, beliau berkata satu premis di Padawan dan Sibu turut diserbu atas kesalahan sama. 

Menurutnya, dari Januari hingga semalam, tujuh serbuan dilakukan membabitkan empat kes di daerah Kuching serta masing-masing satu kes di Padawan, Sibu dan Bintulu.

-- BERNAMA