PERSATUAN AUTISTIK SIBU HOSKAN KONVENSYEN AUTISME KEBANGSAAN MEI DEPAN

20/03/2023 03:09 PM

SIBU, 20 Mac (Bernama) -- Persatuan Austistik Sibu (SAA) akan mengadakan Konvensyen Autisme Kebangsaan selama dua hari di sebuah hotel di sini mulai 6 Mei ini bagi membantu para pendidik dan ibu bapa mengharungi cabaran gangguan spektrum autisme di sekolah dan rumah melalui sesi perkongsian dengan panel pakar.

Presiden persatuan itu David Ngu berkata konvensyen itu akan menyediakan maklumat berasaskan bukti untuk pendidik dalam membangunkan program pendidikan yang berkesan untuk pelajar yang mengalami gangguan spektrum autisme.

“Mereka akan mengenali pendidikan inklusif, kepentingan bermain, terapi pekerjaan dan diet seimbang untuk pelajar autisme,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Keluarga yang mempunyai anak autistik boleh mendapatkan beberapa petua keibubapaan untuk kanak-kanak autisme dan meningkatkan kemahiran komunikasi anak-anak mereka di rumah selain dapat menemukan bakat kanak-kanak autisme menerusi perkongsian.

Mereka yang berminat untuk menyertai boleh mendaftar sendiri dengan mengimbas kod QR konvensyen di laman Facebook Persatuan Autistik Sibu dengan yuran pendaftaran RM100 untuk warga Malaysia dan RM150 untuk warga asing.

-- BERNAMA