LELAKI DENGAN 18 REKOD KESALAHAN DADAH DITAHAN LAGI

Credit: Sibu police district
17/02/2023 06:26 PM

SIBU,17 Feb (Bernama) -- Bagai tidak serik dengan kesilapan lepas, seorang lelaki yang memiliki 18 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, ditahan polis semalam susulan penemuan 129.59 gram bahan terlarang itu bernilai lebih RM12,000, di sebuah rumah di Jalan Ek Dee di sini. 

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu kira-kira 7.10 malam. 

"Hasil pemeriksaan ke atas suspek, pihak polis telah merampas tujuh peket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine," katanya dalam kenyataan.

Katanya hasil ujian mendapati lelaki itu positif methamphetamine dan amphetamine.

“Suspek telah direman selama enam hari bermula hari ini (Jumaat) bagi membantu siasatan," kata Zulkipli. 

-- BERNAMA