SARAWAK MAHU PELABUHAN BINTULU SEBAHAGIAN DARIPADA KLUSTER PELABUHAN NEGERI - DOUGLAS UGGAH

Sarawak Deputy Chief Minister Datuk Amar Douglas Uggah Embas
03/02/2023 01:46 PM

KUCHING, 3 Feb (Bernama) -- Hasrat Sarawak untuk mengambil alih Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan Persekutuan bertujuan menjadikannya sebahagian daripada kluster pelabuhan negeri yang akan dikawal selia di bawah pihak berkuasa pelabuhan pusat.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pihak berkuasa pelabuhan pusat ini akan diperbadankan di bawah undang-undang negeri.

“Kami perlu melihat Ordinan Pihak Berkuasa Pelabuhan (Sarawak) 1961. Kami berharap dapat membentangkan rang undang-undang pada persidangan DUN (Dewan Undangan Negeri) pada akhir tahun ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya hari ini.

Beliau berkata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam mesyuarat Kabinet negeri semalam telah mengarahkan kementeriannya untuk mengetuai perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan peringkat persekutuan mengenai hasrat negeri untuk mengambil alih pelabuhan tersebut.

“Ini bukan tugas kecil. Kini, kita ada Pelabuhan Samalaju di sana (di Bintulu) juga,” katanya.

Isnin lepas, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak akan berbincang dengan kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih semula Pelabuhan Bintulu sebagai langkah untuk membolehkan pelabuhan itu ditadbir dan dibangunkan lagi mengikut strategi negeri untuk menjadikannya hab pengangkutan di rantau Asia Pasifik.

Susulan pengumuman ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada Rabu berkata walaupun belum ada permintaan rasmi diterima daripada kerajaan Sarawak, kerajaan Persekutuan bersedia untuk membincangkan perkara itu.

“Sebarang kemungkinan, apa sahaja boleh dibincang dan dirunding. Saya memahami apa aspirasi yang kerajaan Sarawak inginkan. Saya tidak menolak perbincangan tersebut dan kita terbuka tetapi ia akan memerlukan banyak proses kerana Pelabuhan Bintulu merupakan pelabuhan persekutuan,” katanya.

-- BERNAMA