LEBIH 2,000 PEKERJA BANK DI SARAWAK DAPAT MANFAAT HASIL PERJANJIAN KOLEKTIF SCBA, SBEU

04/01/2023 04:03 PM

KUCHING, 4 Jan (Bernama) -- Lebih 2,000 pekerja sektor perbankan di Sarawak akan mendapat manfaat hasil daripada Perjanjian Kolektif Ke-16 yang ditandatangani di antara Persatuan Bank-Bank Komersial Sarawak (SCBA) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Sarawak (SBEU) hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Presiden SCBA, Maureen Paril dan Presiden SBEU, Fabian Oliver Patrick Munan sambil disaksikan Presiden Persatuan Bank Komersial Malaysia (MCBA), Datuk Nora Abdul Manaf.

Ketua Pegawai Eksekutif SBEU, Andrew Lo berkata hasil daripada rundingan dan persetujuan itu, pekerja sektor bank akan menerima tunggakan gaji berjumlah di antara RM10,000 dan RM36,000.

“Selain itu, hasil daripada rundingan lapan perkara yang dijalankan selama dua tahun bermula Januari 2021 dan akan berkuat kuasa mulai 21 Januari ini termasuklah penetapan tangga gaji minimum baharu sebanyak RM1,945,” katanya ketika berucap di majlis menandatangani perjanjian itu di sini. 

Menurutnya perjanjian itu turut melibatkan peningkatan gaji antara lapan dan 15 peratus, pemansuhan had tuntutan kerja lebih masa, peningkatan elaun-elaun lain di antara 10 dan 18 peratus serta elaun perumahan sebanyak RM575 sebulan bagi yang berkeluarga.

Sementara itu, Nora berkata ekonomi global dijangka akan mengalami penguncupan dan berdepan dengan kadar inflasi yang akan menjejaskan Malaysia.

Katanya, situasi itu akan menyumbang kepada peningkatan jumlah kadar faedah pinjaman dan beberapa kadar faedah lain yang dijangka berlaku mulai tahun ini disebabkan oleh kemelesetan ekonomi.

“Justeru, dengan pencapaian terbaharu menerusi perjanjian ini ia akan membantu pekerja-pekerja dalam sektor perbankan untuk berdepan dengan tempoh ekonomi yang mencabar ini,” tambahnya.

-- BERNAMA