ISARAWAKCARE ANUGERAH REKA BENTUK LONDON

08/12/2022 12:57 AM

KUCHING, 7 Dis (Bernama) --Sarawak meletakkan diri sebaris dengan jenama besar seperti IBM, Vodafone dan beberapa entiti digital antarabangsa terkemuka dunia apabila aplikasi webnya, iSarawakCare memenangi Anugerah Reka Bentuk London, hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah menerima anugerah bagi ketagori Perkhidmatan Digital Kerajaan daripada Pengasas dan Pengerusi, Better Future, Mark Bergin, di London.

“Menerusi slogan 'One Click at Your Service,' portal iSarawakCare disepadukan dengan sistem sedia ada di Sarawak seperti SarawakNet, SarawakID, Perbendaharaan Negeri, bank serta sistem kerajaan Persekutuan untuk memudahkan proses merentas semua platform yang terlibat,” kata Fatimah dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata iSarawakCare menawarkan akses satu titik mudah kepada inisiatif kerajaan, bantuan, perkhidmatan yang meliputi spektrum antara generasi dan kesaksamaan sosial dalam komuniti melalui kementerian.

Menurutnya, ia dilakukan melalui sistem yang fleksibel dengan kendalian data, selain membenarkan kementerian mengubah suai, meminda, mengemas kini, memadam sedia ada atau menambah inisiatif masa hadapan.

“Ia adalah platform dalam talian yang membolehkan orang ramai menghantar permohonan pada bila-bila masa dan dari mana-mana lokasi, sambil turut memberikan kemas kini masa nyata antara pentadbir sistem dan orang ramai tentang kemas kini program kerajaan,” katanya.

iSarawakCare direka dan dibangunkan kementerian bersama Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) sebagai penyelaras projek untuk memenuhi keperluan sistem digital dalam platform digital, seni bina, pertukaran data, pengesahan data dan penyelesaian iSarawakCare.

Ia juga melibatkan Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri (SSMU) sebagai Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal memberi nasihat tentang keperluan standard dan sistem untuk digital kerajaan dan SOCOE Sdn Bhd sebagai pembangun sistem.

Sementara itu, Bergin, penganjur anugerah tersebut,  berkata aspek hebat projek itu dicerminkan daripada keupayaan kerajaan Sarawak untuk menawarkan perkhidmatan digital yang tidak boleh diperoleh dengan segera untuk semua rakyat.

“Kami juga kagum dengan hakikat bahawa terdapat sisi antara generasi di mana penduduk lebih berusia seperti ibu bapa dengan bantuan anak-anak, mereka dapat akses kepada perkhidmatan digital...sekiranya tidak, gagal mendapat akses,” katanya.

-- BERNAMA