PENSIJILAN HALAL MAMPU BAWA PRODUK PKS KE PASARAN GLOBAL

10/11/2022 05:44 PM

KUCHING, 10 Nov (Bernama) -- Pensijilan halal boleh membantu produk usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menguasai pasaran tempatan seterusnya menembusi pasaran global, kata Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Coorporation (HDC) Hairol Ariffein Sahari.

Beliau berkata sejak penganjuran Program Jelajah Halal sempena Program Inisiatif Bajet 2022 bermula, sebanyak 70 peratus daripada lebih 1,000 usahawan yang telah menyertai program itu berjaya meningkatkan hasil jualan syarikat.

“Angka ini kami peroleh daripada kajian yang telah kami lakukan selepas penganjuran di Terengganu, Pahang dan Sabah, iaitu sejumlah 70 peratus daripada peserta telah mendapatkan sijil halal dalam tempoh 30 hari bekerja.

“Oleh itu, adalah penting bagi usahawan PKS, masyarakat atau komuniti di Sarawak ini tahu betapa pentingnya industri halal kerana ia memberikan nilai tambah kepada perusahaan mereka dari segi eksport dan untuk masuk ke pasaran tempatan seperti di pasar raya besar dan kedai runcit di seluruh Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Program Jelajah Halal sempena Program Inisiatif Bajet 2022 adalah anjuran HDC dengan kerjasama Kementerian Perdagangan dan Pelaburan Antarabangsa Sarawak (MINTRED).

Berlangsung selama tiga hari bermula 8 Nov, program yang bertujuan memberikan manfaat kepada usahawan tempatan untuk mencari peluang perniagaan dalam pasaran halal berjaya mencapai sasaran dengan penyertaan 450 peserta.

Bagi pengasas Anas Popcorn, Kawi Li berkata beliau sedar betapa pentingnya pensijilan halal ketika mahu memasarkan produknya di pasaran tempatan di awal penglibatannya dalam industri makanan, namun ditolak kerana tidak mempunyai sijil.

“Dari situ saya berusaha untuk mendapatkan pensijilan, memang tidak mudah tetapi hasilnya sangat membantu bagi usahawan PKS seperti saya, membolehkan produk syarikat menembusi tempatan dan luar.

“Bagi saya program anjuran HDC ini adalah satu platform yang sangat membantu kerana turut melibatkan pelbagai agensi berkaitan bagi membantu usahawan memasarkan produk mereka,” katanya.

Bermula dari jualan di tepi jalan pada 2015, Anas Popcorn kini telah menguasai pasaran tempatan seperti di stesen minyak dan pasar raya, seterusnya produknya itu bakal menembusi pasaran di Semenanjung, Singapura dan Brunei.

Pengasas produk Aroma Terapi Shaluxury, Shamsiah Yaman, 35, berkata beliau mahu pensijilan halal bagi produknya itu agar ia dapat dipasarkan ke London menerusi Halal Street UK, platform pasaran dalam talian terbesar bagi produk Halal Malaysia di United Kingdom.

Bagi Siti Faizah Morni, 33, pemilik Syarikat Kasu yang mengusahakan produk kekacangan yang diwarisinya daripada ibunya berkata adalah menjadi harapannya untuk mengembangkan peniagaan keluarga ke peringkat global.

“Sudah lama saya tercari-cari platform yang boleh membantu saya bagi menambah input untuk mendapatkan pensijilan halal seperti program dianjurkan HDC ini, sedikit sebanyak amat membantu pemahaman saya untuk mendapatkan pensijilan halal,” tambah beliau yang juga penerima Bantuan Sarawakku Sayang (BKKS), Geran Khas Prihatin dan Program Usahawan Perintis Digital kerajaan negeri.

-- BERNAMA