BANJIR DI BINTULU SEMAKIN PULIH, JUMLAH MANGSA DI PPS MENURUN

Kredit : Fb APM Bintulu
02/11/2022 09:58 AM

KUCHING, 2 Nov (Bernama) -- Keadaan banjir di Bintulu, bandar yang terletak 620km utara dari sini terus beransur pulih dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Stadium Muhibbah, menurun kepada 38 orang setakat 8.00 pagi tadi, berbanding 50 orang semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak dalam laporan hariannya memaklumkan 12 mangsa telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing malam tadi, sementara mangsa yang masih kekal terdiri daripada lapan keluarga membabitkan penduduk Kampung Kemunting dan Bukit Orang.

Banjir yang mulai melanda bandar itu sejak Isnin lepas susulan hujan lebat telah menenggelamkan beberapa kawasan rendah, mengakibatkan 77 mangsa dari 25 keluarga berlindung di PPS Dewan Suarah Bintulu.

Bagaimanapun, PPS berkenaan telah dipindahkan ke Stadium Muhibbah semalam ekoran Dewan Suarah Bintulu akan digunakan untuk proses persiapan bagi hari penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-15.

-- BERNAMA