PRUDENTIAL TERUS PERKUKUH LITERASI KEWANGAN GOLONGAN MUDA MALAYSIA
KUCHING, 25 Nov (Bernama) -- Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) meneruskan komitmen memperkukuh literasi kewangan golongan muda negara, merentas Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak bagi membantu mereka membina asas kewangan yang lebih kukuh untuk masa depan.
PAMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan Karnival Kewangan Belia (dahulu dikenali Konvensyen Graduan Sarawak), anjuran Prudential dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya, menghimpunkan 800 pelajar daripada 15 institusi pengajian tinggi di Sarawak bagi mempelajari pengurusan kewangan dan membuat keputusan kewangan berasaskan maklumat.
Menurut kenyataan itu, menerusi permainan Cash Flow Game, pelajar mempelajari cara menjana pendapatan, menabung, berbelanja dan menderma, sekali gus membantu mereka membentuk tabiat pengurusan kewangan yang baik sejak usia muda.
PAMB memaklumkan ramai pelajar menamatkan pengajian di universiti dengan tanggungan pinjaman pendidikan serta perlu menguruskan gaji pertama mereka. Setakat 31 Ogos 2026, sebanyak 1.16 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih mempunyai tunggakan bayaran balik berjumlah RM10.7 bilion.
Belanjawan 2027 turut membenarkan peminjam PTPTN yang berpendapatan bawah RM2,500 sebulan menangguhkan pembayaran balik pinjaman bagi memberi ruang kepada siswazah yang baharu menamatkan pengajian menyesuaikan diri dengan pekerjaan pertama mereka.
“Golongan belia di Sarawak dan seluruh Malaysia merupakan masa depan negara dan keyakinan dalam menguruskan kewangan akan membantu mereka memanfaatkan peluang dengan sebaiknya. Tabiat kewangan yang dibentuk dari awal lazimnya akan kekal.
“Memahami cara menabung, berbelanja secara berhemat dan merancang masa depan memberikan mereka asas kukuh untuk membina kehidupan. Saya gembira melihat penyertaan yang begitu menggalakkan,” kata Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Keria Kontot.
Usaha Prudential memperkukuh literasi kewangan tidak terhad kepada konvensyen itu sahaja. Pada Oktober 2026, Prudential Malaysia melancarkan Levela, sebuah platform pendidikan kewangan yang membantu golongan muda Malaysia mengembangkan kemahiran pengurusan kewangan secara praktikal serta membina keyakinan dalam menguruskan kewangan.
Menerusi Levela, Karnival Kewangan Belia dan pelbagai inisiatif pendidikan kewangan lain, Prudential terus membantu golongan muda Malaysia membina pengetahuan serta membentuk tabiat yang baik bagi membuat keputusan kewangan lebih bijak sepanjang hayat.
Dengan membantu golongan muda membuat persediaan lebih awal, Prudential berhasrat memberikan mereka keyakinan lebih tinggi dalam menguruskan kewangan pada masa ini, di samping membina asas ke arah masa depan yang diimpikan untuk diri sendiri dan insan tersayang.
Konvensyen itu dianjurkan oleh PAMB dengan kerjasama UNIMAS, serta mendapat sokongan Eastspring Investments, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Affin Bank, Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
-- BERNAMA
