PRN SARAWAK: JOHNICHAL RAYONG, SEE CHEE HOW KINI AHLI SUPP - DR SIM
KUCHING, 25 Nov (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnichal Rayong Ngipa dan ADUN Batu Lintang See Chee How kini secara rasmi menganggotai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) selepas keahlian mereka diluluskan pada mesyuarat parti itu malam tadi.
Presiden SUPP Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata kedua-duanya akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai ahli SUPP.
“Malam tadi, pada mesyuarat SUPP, kita menerima keahlian Rayong dan Chee How. Jadi, kini kedua-duanya merupakan ahli SUPP,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon GPS bagi PRN Sarawak di sini hari ini.
Isnin lepas, Rayong mengumumkan keluar daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) serta melepaskan semua jawatan disandangnya dalam parti itu berkuat kuasa 22 Nov, namun menegaskan komitmennya untuk kekal bersama GPS.
See pula berkhidmat sebagai ADUN Bebas selepas meninggalkan Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 2022.
Terdahulu, Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan Rayong dan See sebagai calon gabungan parti itu bagi mempertahankan kerusi masing-masing pada PRN kali ini.
Sementara itu, Dr Sim berkata kesemua 18 nama calon yang dikemukakan SUPP diterima Abang Johari, dengan beberapa muka baharu turut diketengahkan.
Beliau berkata antara kerusi DUN yang menampilkan muka baharu ialah Padungan, Simanggang dan Bawang Assan.
Dr Sim turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin parti yang tidak lagi bertanding, khususnya Datuk Francis Harden Hollis atas khidmat bakti kepada penduduk Simanggang selama lebih 30 tahun serta kesetiaannya kepada SUPP.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 Nov sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 8 Dis dan hari pengundian 12 Dis ini.
Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/ .
-- BERNAMA
