DAP TAMPIL CALON GENERASI Z, IRENE WONG DI DUN PELAWAN
SIBU, 20 Nov (Bernama) -- DAP Sarawak akan menampilkan calon daripada Generasi Z, Irene Wong Li Ting, di Pelawan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 12 Dis ini, selaras dengan usaha parti untuk membawa suara golongan muda ke Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata Wong, 24, telah berkhidmat di kawasan itu selama dua tahun sebagai pembantu kepada Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew.
"Siapa yang lebih layak mewakili suara orang muda selain orang muda itu sendiri?" katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Selain itu, Chong mengumumkan Stanley Chiew Jun Yi, pembantu kepada Ahli Parlimen Lanang Alice Lau Kiong Yieng sebagai calon parti tersebut bagi kerusi DUN Bukit Assek.
Beliau berkata kedua-dua calon berkenaan amat memahami isu tempatan dan berharap pengundi akan memberikan peluang kepada mereka untuk membawa pandangan alternatif dari Sibu ke DUN.
DAP Sarawak akan mengumumkan senarai calon bagi kerusi di wilayah selatan di Kuching pada 22 Nov ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRN Sarawak pada 28 Nov, 8 Dis sebagai undi awal dan 12 Dis ialah hari mengundi.
Pada PRN Sarawak ke-12 pada 2021, DAP yang bertanding di 26 daripada 82 kerusi DUN telah memenangi dua kerusi, iaitu Padungan dan Pending.
-- BERNAMA
