BELANJAWAN SARAWAK 2027 AKAN SENTUH ISU TARIF ELEKTRIK - ABANG JOHARI
MUKAH, 3 Okt (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan Belanjawan Sarawak 2027 yang akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan datang bakal menyentuh banyak perkara termasuk tarif elektrik, hala tuju ekonomi serta kedudukan hasil negeri.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan langkah bakal diumumkan, sebaliknya meminta rakyat menunggu pembentangan bajet berkenaan.
“Insya-Allah, dua minggu lagi saya akan membentangkan Bajet Sarawak. Kita tunggulah bajetnya.
“Ada negeri lain naik tarif elektrik. Sama ada Sarawak naik...jangan khuatir, selagi Abang Johari ada,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Mukah di Dataran Pehin Setia Raja di sini hari ini.
Abang Johari turut memberi bayangan mengenai hala tuju ekonomi Sarawak dan kedudukan hasil negeri yang akan diperincikan dalam pembentangan itu.
“Bagaimana pula dengan hala tuju ekonomi kita untuk anak-anak masa depan? Jangan susah... masa depan adalah cerah. Dan juga bagaimana pendapatan Sarawak? Ada naik atau turun? Tunggu 12 hari bulan (Okt),” katanya.
Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak tidak akan berundur dalam mempertahankan haknya terhadap sumber minyak dan gas bagi memastikan kekayaan itu dimanfaatkan untuk membiayai pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Katanya pendirian itu juga berasaskan hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Saya tidak akan undur mengenai hak Sarawak mengenai minyak dan gas. Kita mesti mengoptimumkan hasil bumi kita supaya hasil ini kita kembalikan pada anak Sarawak,” katanya.
Abang Johari berkata hasil negeri diperlukan untuk membiayai pelbagai keperluan pembangunan termasuk pembinaan jalan raya dan infrastruktur serta pembangunan sektor pertanian.
Beliau berkata penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) merupakan antara langkah strategik kerajaan negeri dalam mengurus sumber minyak dan gas.
-- BERNAMA
