KERAJAAN SARAWAK LAKSANA DUA PROJEK JALAN ATASI KESESAKAN DI SARIKEI

Datuk Seri Huang Tiong Sii
02/10/2026 08:50 PM

SARIKEI, 2 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak akan melaksanakan dua projek jalan raya di sini bernilai keseluruhan RM98 juta bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan kesalinghubungan dan aktiviti ekonomi. 

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata projek itu melibatkan naik taraf Jalan Nyelong Bypass kepada jalan empat lorong dua hala bernilai RM86 juta serta pembinaan jalan baharu Nyelong Bypass/Kwong Ming Minah bernilai RM12 juta.

Beliau berkata projek jalan sepanjang 3.6 kilometer (km) itu akan melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan dua lorong satu laluan kepada empat lorong dua laluan.

Projek itu dilaksanakan menerusi Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Sarawak dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana.

“Pelaksanaan kedua-dua projek ini penting untuk mengurangkan kesesakan, meningkatkan keselamatan pengguna serta melancarkan pergerakan dan memendekkan masa perjalanan,” katanya pada majlis pecah tanah kedua-dua projek itu di sini hari ini.

Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei berkata jalan baharu Nyelong Bypass/Kwong Ming Minah pula sepanjang dua kilometer dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).

Beliau berkata jumlah kenderaan menggunakan Jalan Repok semakin meningkat manakala Jalan Nyelong Bypass menjadi laluan alternatif penting bagi pengguna keluar masuk bandar Sarikei.

Jalan itu turut berfungsi sebagai laluan pintasan ke Tanjung Manis, sekali gus menjadikan peningkatan kapasiti jalan penting bagi menampung pertambahan trafik.

-- BERNAMA