JAMBATAN SEJINGKAT BAKAL DIBUKA 1 OKT, PEMANGKIN SOSIOEKONOMI KUCHING-SAMARAHAN

Kredit: Jabatan Kerja Raya Sarawak
17/08/2026 02:32 PM

KUCHING, 17 Ogos (Bernama) -- Projek infrastruktur Jambatan Sejingkat bernilai RM365.74 juta bakal dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 1 Okt depan, sekali gus menandakan pencapaian penting sebagai jambatan ke-12 yang siap di bawah pelan transformasi jaringan jalan raya Kerajaan Negeri Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata jambatan jalan berkembar empat lorong dua hala itu bakal mengurangkan kesesakan trafik pada waktu puncak serta menyediakan laluan alternatif lebih lancar antara Kuching dan Kota Samarahan.

"Dulu masyarakat dari Kota Samarahan atau Serian kalau nak pergi ke Demak Laut, Petra Jaya atau kawasan perindustrian di sebelah sini, mereka kena lalu pusat bandar hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang serius. 

Kredit: Jabatan Kerja Raya Sarawak

"Dengan siapnya jambatan ini, sebahagian besar trafik dapat dilencongkan terus dan mengurangkan kesesakan dengan signifikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyambungan terakhir Jambatan Sejingkat, hari ini. 

Uggah turut memaklumkan pembinaan jambatan sepanjang 1.28 kilometer yang merentasi Sungai Sarawak itu merupakan sebahagian daripada projek rangkaian Jalan Pesisir Sarawak yang dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Beliau berkata selain memendekkan masa perjalanan dan meningkatkan kesalinghubungan penduduk setempat, kemudahan baharu itu dijangka bertindak sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi dengan merangsang potensi aktiviti komersial, pertanian dan akuakultur di sepanjang koridor berkenaan.

-- BERNAMA