GENERASI MUDA DIGESA SUMBANG IDEA KE ARAH PEMBANGUNAN SEZ

02/08/2026 12:00 PM

SIBU, 2 Ogos (Bernama) -- Generasi muda digesa memahami dasar kerajaan serta menyumbang idea bernas ke arah pembangunan Zon Ekonomi Sibu (SEZ) bagi memastikan pembangunan ekonomi bandar itu dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan bersepadu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan dana awal sebanyak RM1.5 bilion bagi memacu pembangunan zon ekonomi berkenaan.

Beliau berkata generasi muda perlu memainkan peranan aktif dalam membentuk masa depan Sibu kerana mereka bakal mewarisi kepimpinan dan menikmati manfaat daripada pembangunan SEZ.

"Peranan saya ialah merancang dan melaksanakannya, tetapi manfaatnya adalah untuk generasi muda. Sebab itu saya mahu mengetahui harapan dan aspirasi anda semua terhadap masa depan Sibu," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Silaturahim Pelajar DUN Nangka 2026 yang dihadiri lebih 1,000 pelajar institusi pengajian tinggi di sini, malam tadi.

Pada Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sibu pada 11 Julai lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan penubuhan SEZ dengan peruntukan awal RM1.5 bilion.

Annuar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, berkata antara fokus utama SEZ ialah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, mengurangkan penghijrahan tenaga mahir ke bandar lain serta menangani cabaran peningkatan populasi warga emas.

Selain itu, katanya, pembangunan SEZ turut memberikan tumpuan kepada penyediaan perumahan yang mencukupi serta menarik lebih ramai pelabur bagi merangsang pertumbuhan ekonomi Sibu.

Beliau berkata Sibu yang suatu ketika dahulu berkembang pesat hasil industri pembalakan kini memerlukan transformasi ekonomi berikutan industri itu telah mencapai fasa kematangan.

"Kita perlu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan supaya golongan muda dapat terus tinggal di Sibu selepas menamatkan pengajian. Kita juga mahu meminimumkan penghijrahan bakat kerana kita memerlukan tenaga berpendidikan dan berbakat untuk membangunkan bandar ini," katanya.

Sementara itu, Annuar berkata Pusat Khidmat DUN Nangka telah menyalurkan bantuan pendidikan berjumlah RM757,500 kepada 1,515 pelajar dari kawasan itu bagi tempoh 2022 hingga 2025 untuk melanjutkan pengajian.

-- BERNAMA