KELUPIS PANDAN, TAHAI GANDINGAN WARISAN KULINARI UTARA SARAWAK
Oleh Zaphne Philip
KUCHING, 26 Julai (Bernama) -- Bagi masyarakat di utara Sarawak khususnya di Limbang dan Lawas, kelupis bukan sekadar makanan berasaskan pulut, malah warisan turun-temurun yang menjadi pelengkap setiap kali musim perayaan, majlis keramaian dan ketika menyambut tetamu.
Dihasilkan menggunakan beras pulut, santan dan dibungkus kemas dengan daun, memberikan identiti tersendiri kepada makanan tradisi masyarakat Melayu Brunei dan Kadayan di kawasan berkenaan.
Seiring dengan peredaran zaman, makanan warisan itu turut menerima sentuhan inovasi tanpa mengubah resipi asal apabila daun pandan digunakan sebagai pembungkus bagi menghasilkan kelupis pandan yang lebih harum dan menyelerakan.
Bagi Mayziana Matzin, 40, pengusaha Buffet.Lab Food Services, usaha memperkenalkan kelupis pandan sebagai antara menu ditawarkan dalam perniagaannya bertujuan memastikan makanan tradisional masyarakat di utara Sarawak itu terus dikenali dan dihargai, khususnya oleh masyarakat luar.
“Ramai hanya mengenali kelupis biasa, sedangkan kelupis pandan mempunyai keistimewaan tersendiri, penggunaan daun pandan memberikan aroma lebih harum, namun rasa asli kelupis tetap dikekalkan.
“Saya mahu lebih ramai orang mengenali makanan tradisi utara Sarawak, bukan sekadar menikmatinya tetapi memahami nilai warisan yang dibawa bersama setiap hidangan,” kata wanita berbangsa Kadayan dari Kampung Sibukang, Limbang itu kepada Bernama.
Menurut Mayziana, kelupis pandan jualannya dihasilkan menggunakan pulut Siam dan santan segar yang diperah sendiri, sekali gus menghasilkan tekstur lebih lembut, berlemak dan berwarna lebih cerah berbanding kelupis biasa.
“Di sebalik kepelbagaian makanan moden hari ini, makanan tradisional seperti kelupis ini masih mempunyai tempat di hati masyarakat. Sambutan terhadap kelupis pandan amat memberangsangkan terutamanya dari pelanggan luar kawasan Limbang seperti di Kuching ini,” katanya.
Selain kelupis pandan, beliau berkata Buffet.Lab Food Services yang diusahakannya sejak 2018 itu turut memperkenalkan tahai, satu lagi makanan tradisional yang sinonim dengan masyarakat di utara Sarawak.
“Tahai dihasilkan daripada sejenis ikan kecil yang diperoleh dari kawasan pantai sebelum disalai menggunakan cahaya matahari dan arang sehingga benar-benar kering, sebelum diproses menjadi sambal menggunakan kaedah tradisional.
“Walaupun penggunaan mesin mampu mempercepat proses penyediaan, saya memilih untuk menggunakan lesung batu untuk menumbuk ramuan sambal tahai bagi memastikan tekstur dan aroma salai kekal asli,” katanya.
Menurut Mayziana, kelupis pandan paling enak dinikmati bersama sambal tahai, gabungan yang menjadi kegemaran masyarakat utara Sarawak sejak sekian lama.
“Kelembutan dan rasa lemak kelupis dibaluti aroma daun pandan melengkapi keenakan sambal tahai yang berasap, masin dan sedikit pedas, menghasilkan kombinasi rasa cukup unik.
“Bagi masyarakat di Limbang dan Lawas, kedua-dua makanan itu bukan sekadar hidangan, malah pasangan serasi yang hampir pasti dihidangkan dalam pelbagai acara keluarga sebagai lambang serta warisan perlu dipelihara,” katanya.
Katanya, melalui sentuhan inovasi mengekalkan resipi asal, beliau yakin kelupis pandan dan tahai berpotensi menjadi antara ikon gastronomi utara Sarawak yang mampu menarik perhatian pengunjung dari dalam dan luar negara.
-- BERNAMA
