226 GRADUAN PENAN BERJAYA DILAHIRKAN - ABANG JO 

Pix credit: Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS
04/07/2023 10:30 PM

MIRI, 4 Julai (Bernama) -- Seramai 226 graduan pelbagai bidang daripada masyarakat etnik Penan telah berjaya dilahirkan dari 1998 hingga 2022, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai tiga orang telah berjaya memperolehi Ijazah Sarjana, 142 orang menerima Ijazah Sarjana Muda dan 81 orang telah menerima diploma.

Katanya buat masa ini juga terdapat dua orang pelajar dari etnik Penan yang sedang menyelesaikan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) mereka.

Pix credit: Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS

“Walaupun jumlah populasi mereka yang kecil tetapi kini sudah berjaya melahirkan jumlah graduan yang ramai. Masa depan masyarakat Penan begitu cerah dan ini terbukti dengan statistik kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis perasmian tadika komuniti Sedidik Penan di kawasan Apoh/Tutoh di sini, hari ini.

Abang Johari berkata pembukaan tadika untuk kanak-kanak berumur empat ke enam tahun itu juga merupakan satu pencapaian besar kerana terletak di kawasan pedalaman Sarawak.

Pix credit: Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS

Sementara itu, ditanya sama ada Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan membantu parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata perkara itu akan dibincangkan pemimpin gabungan itu terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat. 

Pada 2 Julai, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pemimpin GPS dapat turun padang membantu calon BN menghadapi PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi.

-- BERNAMA