PEMBUKAAN PEJABAT PERDAGANGAN, PELANCONGAN SARAWAK DI PONTIANAK BUKA PELUANG BAHARU

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (third, right) - Credit: UKAS Sarawak
25/11/2022 06:21 PM

KUCHING, 25 Nov (Bernama) -- Pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Pontianak, Indonesia, tahun depan dilihat dapat membuka peluang ekonomi baharu buat kedua-dua pihak, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Katanya, peluang ekonomi di Indonesia cukup besar terutamanya apabila kerajaan Indonesia memindahkan ibu negara tersebut dari Jakarta ke Kalimantan Timur yang turut berada dalam kepulauan Borneo.

Katanya, kerajaan negeri Sarawak juga akan terus komited mengekalkan jalinan kerjasama erat dengan Indonesia merentasi pelbagai aspek termasuk dalam perusahaan kecil dan sederhana.

“Kita (Sarawak dan Indonesia) mempunyai hubungan yang rapat sekali, kita harap hubungan ini dapat dikukuhkan lagi dan merangkumi pelbagai sektor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan hormat dari Ikatan Saudagar Muslim Se-Indonesia (ISMI) di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini. 

Pada 21 Nov lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa membentangkan Bajet Negeri 2023, berkata kerajaan Sarawak bercadang memperuntukkan RM10 juta kepada Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS), serta penubuhan pejabat yang sama di Brunei dan Pontianak pada tahun depan.

-- BERNAMA