247 SEKOLAH DAIF DIKENAL PASTI DI SARAWAK

25/11/2022 12:06 PM

KUCHING, 25 Nov (Bernama) -- Sebanyak 247 buah sekolah daif telah dikenal pasti di Sarawak terlibat dalam pelbagai projek baik pulih sekolah oleh kerajaan Persekutuan dan negeri.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata 62 daripada projek berkenaan telah disiapkan manakala 177 lagi dalam pelbagai peringkat perancangan dan pembinaan.

“Semenjak selepas pandemik COVID-19, kerancakan (projek) baik pulih sekolah-sekolah sudah berlaku dan kita akan dapat menangani isu ini secepat mungkin,” katanya ketika menjawab soalan Fazzrudin Abdul Rahman (GPS-Tupong) di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Selain penambahbaikan infrastruktur, Dr Annuar berkata kementeriannya turut melaksanakan program pembangunan profesional untuk pendidik serta memperkasa kepimpinan dan pengurusan sekolah selaras dengan ketetapan di bawah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia.

“Untuk menambah baik penguasaan bahasa Inggeris sebagai Bahasa rasmi kedua di Sarawak, kementerian turut menganjurkan Sarawak English Language Education Symposium khas untuk guru-guru bahasa Inggeris,” katanya.

Dr Annuar berkata kementeriannya turut menyediakan kursus khas untuk guru sekolah di Sarawak  bagi meningkatkan lagi kompetensi mereka dalam pengajaran Sains, Matematik dan Inggeris.

“Guru-guru turut dibekalkan bahan-bahan tambahan untuk membantu mereka khususnya dalam pengajaran sains dan matematik serta National Geographic Language, selain membekalkan (komputer mini) Raspberry Pi untuk sekolah rendah,” katanya.

Beliau menambah Yayasan Sarawak juga turut menyediakan bantuan kewangan untuk pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan bagi membolehkan mereka meneruskan persekolahan mereka.

-- BERNAMA