RADDA BAKAL BAWA LEBIH BANYAK PEMBANGUNAN KE JULAU
SARIKEI, 17 Nov (Bernama) -- Kawasan Parlimen Julau yang meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan dan Pakan bakal menikmati lebih banyak projek pembangunan pada masa akan datang, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata ini kerana kedua-dua kawasan itu berada dalam lingkungan seliaan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) yang berperanan mentransformasikan kawasan luar bandar dalam usaha meningkatkan keselesaan dan kemakmuran rakyat.
"Kedua-dua wakil rakyat di kawasan Julau iaitu Tan Sri William Mawan (ADUN Pakan) dan Roland Duat Jubin (ADUN Meluan) pun telah mencadangkan beberapa projek yang akan mengubah landskap yang ada di Julau ini," katanya semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pekan Julau hari ini.
Menurut Abang Johari, sektor pertanian di Julau telah berkembang rancak khususnya pengeluaran lada hitam yang berjaya meningkatkan pendapatan rakyat di kawasan tersebut.
Katanya tahap kehidupan yang bertambah baik dapat dilihat di Julau berdasarkan pertambahan jumlah kenderaan di kawasan itu dan permintaan daripada penduduknya supaya sebuah stesen minyak disediakan di kawasan itu.
Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata pembangunan yang lebih teratur dapat diwujudkan dengan adanya kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan menerusi Ahli Parlimen Julau.
Kerusi Julau katanya kehilangan satu penggal dari sudut perancangan yang menyeluruh apabila ia jatuh ke tangan calon bebas, Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shein pada Plihan Raya ke-14 pada 2018.
Abang Johari berharap Julau dapat diwakili wakil rakyat GPS agar mempunyai pendekatan yang kondusif daripada satu kumpulan yang kuat untuk bersama Persekutuan bagi membangunkan kawasan itu.
Dalam majlis itu, beliau meluluskan peruntukan kerajaan Sarawak berjumlah RM74 juta untuk projek bekalan air di kawasan Julau yang akan dilaksanakan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak selain pembinaan sebuah stesen minyak, dewan serbaguna dan projek tebingan sungai.
Persaingan untuk kerusi Parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum ke-15 ini menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan penyandangnya Soon kini mewakili Parti Bangsa Malaysia ditentang calon GPS Datuk Joseph Salang Gandum, Suhana Abdullah@Susan Georga (Parti Bansa Dayak Sarawak) dan Elly Lawai Ngalai (Bebas).
-- BERNAMA
