SARAWAK TUNGGU LESEN UNTUK MULAKAN OPERASI SYARIKAT PENERBANGAN BUTIK - ABANG JOHARI

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg (File pix)
13/11/2022 04:39 PM

KUCHING, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sarawak kini hanya menunggu lesen yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi membolehkan syarikat penerbangan butik miliknya memulakan operasi.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata aspek pengoperasian syarikat penerbangan itu sudah dimuktamadkan dengan bermatlamat untuk membolehkan kemasukan pelancong secara langsung ke negeri berkenaan.  

“Kita telah buat kajian dan nampaknya ia (penubuhan syarikat penerbangan butik) boleh (dilaksanakan). Sekarang kita hanya tunggu keputusan oleh Kementerian Pengangkutan untuk dapatkan lesen,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Sarawakku Sayang, di sini, hari ini. 

Katanya, syarikat kecil itu akan beroperasi di bawah platform Hornbill Skyways dan akan dapat melonjakkan kemasukan pelancong ke negeri Bumi Kenyalang itu. 

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, berkata penubuhan syarikat penerbangan itu dilihat akan memberi manfaat kepada rakyat Sarawak yang mahu pulang ke kampung halaman dengan harga tiket penerbangan yang berpatutan. 

Nancy, yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Parlimen Santubong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), berkata ramai pelancong luar negara yang mahu melancong ke negeri itu namun, faktor penerbangan yang terhad menjadi antara punca mereka tidak berpeluang memasuki Sarawak. 

“Situasi COVID-19 telah memberi cabaran kepada industri penerbangan. Jadi harapnya dengan ada syarikat penerbangan sendiri, ia berpotensi untuk meningkatkan kedatangan pelancong ke Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari, berkata meskipun penyandang kerusi Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) tidak lagi bertanding dalam PRU15, perkhidmatan dan pengalamannya dalam dunia politik masih diperlukan bagi menyokong usaha kerajaan negeri ke arah ekonomi baharu. 

Katanya, misalnya, pengetahuan Wan Junaidi yang pernah mengetuai Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2015 sehingga 2018 akan membantu negeri dalam soal perdagangan karbon yang melibatkan sudut perundangan antarabangsa serta alam sekitar. 

-- BERNAMA