PROGRAM INISIATIF BAJET 2022 HDC PERKASAKAN INDUSTRI HALAL SARAWAK

08/11/2022 03:11 PM

KUCHING, 8 Nov (Bernama) -- Industri halal Sarawak dapat diperkasakan lagi menerusi Program Inisiatif Bajet 2022 sempena Jelajah Halal Malaysia 2022 yang berlangsung di negeri itu hari ini sehingga Khamis. 

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jelajah berkenaan turut menjadi platform bagi mewujudkan sinergi ekosistem holistik antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

“Saya ingin memberi jaminan program seumpama Jelajah Halal Malaysia ini akan terus diperhebatkan di negeri ini memandangkan kita mahu memacu industri halal, seiring dengan negeri lain,” katanya dalam ucapan perasmian majlis berkenaan di sini hari ini. 

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. 

Dianjurkan oleh Halal Development Corporation Bhd (HDC) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan dan Pelaburan Antarabangsa Sarawak (MINTRED), program itu bertujuan memberi manfaat kepada usahawan tempatan yang mencari peluang perniagaan dalam pasaran halal.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari berkata setakat ini seramai 450 usahawan telah berdaftar di bawah program itu, sekali gus melepasi sasaran 250 penyertaan.

Beliau berkata lebih banyak program akan dianjurkan bagi memudahkan peserta industri halal mendapat sijil halal dan meningkatkan keupayaan mereka sebagai pengeksport. 

“Itulah pentingnya usaha sama erat antara HDC, MINTRED dan Majlis Islam Sarawak. Kami menjangkakan lebih hanyak usahawan Sarawak akan menyertai program ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis itu. 

Menurut beliau destinasi eksport utama bagi keluaran halal Malaysia buat masa ini adalah China, diikuti Singapura, Jepun, Indonesia dan Korea Selatan.

-- BERNAMA