Lembaga Sagu dan Nipah : Perkasakan ekonomi luar bandar Sarawak

File photo
28/05/2022 06:30 PM

MUKAH, 28 Mei (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah (LKSN) Sarawak yang diluluskan penubuhannya Februari lalu, dapat memacu perkembangan industri kedua-dua komoditi itu bagi memperkasakan lagi ekonomi masyarakat luar bandar, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Berperanan mengkaji, menaik taraf dan menghasilkan produk hiliran dalam industri sagu dan nipah, beliau berkata lembaga itu ditubuhkan dengan peruntukan lebih RM30 juta.

Abang Johari berkata kajian mendapati sagu dan nipah yang tumbuh di kawasan paya bakau di sepanjang pantai negeri Sarawak, mempunyai kadar penyimpanan karbon tiga kali ganda lebih tinggi berbanding tumbuhan pokok lain.

“Sebab itu saya rasa tepat kita menubuhkan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah ini. Oya dan Dalat adalah pusat kajian untuk industri yang baharu ini,” kata beliau ketika merasmikan Galeri Warisan Melanau di Oya dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak meminda Kanun Tanah negeri itu baru-baru ini, bagi menukar definisi ‘tanah’ di bawah kanun itu untuk memberi kuasa kerajaan negeri mengawal ruang udara dan segala harta benda di permukaan tanah itu.

Abang Johari berkata pindaan itu turut membolehkan kerajaan negeri mengawal selia penggunaan tanah, darat dan pesisir, di samping dasar laut yang membentuk pelantar benua Sarawak untuk pengurusan dan penyimpanan karbon dioksida atau gas rumah hijau yang lain.

Menurutnya dengan kapasiti penyimpanan karbon terbesar di Malaysia yang dianggarkan 30 trilion kaki padu (TCF) simpanan di kawasan luar pesisir, karbon dioksida yang disimpan Sarawak boleh menjana kredit karbon bersamaan sehingga RM3.5 bilion setahun, apabila didagangkan dengan mematuhi Piawaian Karbon yang diiktiraf atau diterima di peringkat antarabangsa.

Katanya pindaan itu adalah salah satu hala tuju ekonomi baharu kerajaan negeri, untuk membangunkan Sarawak sehingga ke 2030.

Abang Johari menjelaskan pada masa hadapan penggunaan satelit mikro, dijangka bertambah meluas dan mana-mana pihak yang ingin menempatkan satelit itu di ruangan udara Sarawak, harus mendapatkan kebenaran daripada Kerajaan Negeri.

“Ini adalah cara baru untuk mencari rezeki baru, mudah-mudahan Allah memberikan keizinanNya untuk mendapat dana (dengan cara tersebut) untuk jadi Oya, Dalat, Mukah dan Balingian, dapat dibangunkan dengan dana ini (kelak),” tambahnya.

-- BERNAMA